Wednesday, August 25, 2010

Dalil keluar 3 hari, 40 hari dan 4 bulan.

Kebanyakan umat Islam mengetahui bahawa ulama adalah pewaris anbiya’. Seorang yang diakui kedudukannya sebagai seorang ulama tidak akan sekali-kali membuat sesuatu yang bertentangan dengan syariat. Sekiranya kerana kelemahannya dia berbuat sesuatu yang silap maka para ulama lain akan berusaha memperbaiki keadaan dan kesilapan itu. Adapaun adab di antara para ulama amatlah tinggi dan teliti, dan hanya para ulama mengetahuinya.
Kadangkala di kalangan orang awam ada yang berani melanggari adab tersebut. Mereka berasa tidak bersalah apabila membuat tuduhan terhadap para ulama. Seolah-olah ulama lain lebih rendah ilmunya berbanding mereka orang-orang awam ini.
Para ulama sejak zaman awal permulaan usaha agama dihidupkan kembali di India sudah mengetahui kebenaran usaha agama. Apabila usaha agama sudah berkembang ke seluruh dunia, para ulama seluruh dunia juga mengakui kebenaran usaha agama. Tidak dinafikan sesetengah para ulama yang tidak mendapat maklumat yang betul akan memberi respons yang sebaliknya. Tetapi umumnya setelah mereka diberi penjelasan yang betul, maka mereka juga akan turut mendoakan usaha agama yang mulia ini.
Sejak aku mula buat usaha, aku beberapa kali diajukan soalan tentang dalil keluar 3 hari, 40 hari dan 4 bulan. Ada yang bertanya untuk kondem, ada yang tanya untuk uji ilmu kita dan ada yang tanya dengan ikhlas. Aku bukanlah ahli hadis. Tetapi apa yang menyebabkan aku yakin dengan usaha ini ialah kerana terlalu banyak ulama yang terkenal di seluruh dunia yang terlibat di dalam usaha agama ini. Itu sahaja sudah cukup meyakinkan aku. Dan aku yakin, apabila aku keluar lagi dan lagi, maka Allah S.W.T sendiri akan menemukan aku dengan jawapan-jawapan.
Untuk memenuhi permintaan mereka yang ikhlas hati ingin mengetahui dalil keluar di jalan Allah selama 3 hari, 40 hari dan 4 bulan, maka aku tuliskan sedikit penerangannya di sini. Sebelum itu, eloklah dijelaskan bahawa tempoh-tempoh ini diatur sebenarnya bagi memudahkan. Pun begitu, setiap keputusan alim ulama tidak bebas daripada sandaran hujah dan dalil. Maka kepada mereka yang mukhlis, inilah jawapan untuk anda.
Hazrat Maulana Yusuf Al-Kandahlawi, pengarang kitab Hayatus Sahabah pernah berkata di dalam bayannya bahawa pada zaman Rasulullah S.A.W, sebanyak 150 jemaah telah dikeluarkan dari Madinah dalam masa 10 tahun hayat baginda S.A.W di sana.
Baginda s.a.w. sendiri telah menyertai 25 daripada jemaah-jemaah tersebut. Jemaah yang mana baginda S.A.W bersamanya dipanggil ghazwah. Sebahagian jemaah ghazwah tersebut terdiri daripada 10,000 orang, ada yang 1,000 orang, 500 orang, 300 orang, 15 orang, 7 orang dan sebagainya. Jemaah-jemaah ini ada yang keluar untuk 3 bulan, 2 bulan, 15 hari, 3 hari dan sebagainya.
Manakala 125 jemaah lagi tidak disertai oleh baginda S.A.W dan hanya disertai oleh para sahabat r.anhum. Jemaah seperti ini dinamakan sariah. Sebahagian jemaah sariah terdiri daripada 1000 orang, 600 orang, 500 orang dan sebagainya dengan masa keluar 6 bulan, 4 bulan dan sebagainya.
Maka dikatakan purata masa yang diberikan oleh setiap sahabat untuk keluar ke jalan Allah dalam masa setahun ialah antara 6 hingga 7 bulan. Berikut ialah beberapa riwayat tentang kisah-kisah para sahabat r.anhum keluar di jalan Allah.
Sahabat r.anhum keluar 6 bulan:
Bara’ r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah mengutus Khalid ibne-Walid r.a kepada penduduk Yamen untuk mengajak mereka kepada Islam. Bara’ r.a berkata: Aku juga termasuk dalam jamaah itu. Kami tinggal di sana selama 6 bulan. Khalid r.a selalu mengajak mereka untuk masuk Islam, tetapi mereka menolak ajakannya.
Kemudian Rasulullah S.A.W mengutus Ali bin Abi Talib r.a ke sana dan memerintahkan kepada Khalid r.a. untuk kembali dengan seluruh jamaah kecuali salah seorang dari jamaah Khalid r.a. yang mahu menemani Ali r.a, maka ia boleh ikut serta dengan Ali r.a. Bara’ r.a berkata: Akulah yang menemani Ali r.a. selama di sana. Ketika kami betul-betul dekat dengan penduduk Yaman, maka mereka keluar dan dan datang kehadapan kami. Lalu Ali r.a. mengatur shaf mereka untuk mengerjakan solah dan Ali yang menjadi imam dalam solah kami. Selesai solah, Ali r.a membacakan isi surat Rasulullah S.A.W kepada mereka. Setelah mendengar isi surat Rasulullah S.A.W itu maka seluruh Bani Hamdan masuk Islam.
Kemudian Ali r.a. menulis surat kepada Rasulullah S.A.W yang isinya memberitahukan tentang keislaman mereka kepada baginda. Setelah isi surat tersebut dibacakan kepada Rasulullah S.A.W, maka baginda langsung sujud syukur kepada Allah S.W.T. Setelah mengangkat kepala, baginda berdoa: Keselamatan bagi Bani Hamadan. Keselamatan bagi Bani Hamadan. (Bukhari, Baihaqi, Bidayah-wan-Nihayah)
Keluar 4 bulan:
Ibn Juraij berkata: “Ada seseorang yang menceritakan kepada saya bahawa pada suatu malam ketika Umar r.a sedang berkeliling (ghast) di sekitar lorong-lorong kota Madinah, tiba-tiba beliau mendengar seorang wanita sedang mengalunkan syair:
“Betapa panjang malam ini dan betapa gelap di sekelilingnya. Daku tidak boleh tidur kerana tiada yang tersayang yang boleh ku ajak bercumbu. Andai bukan kerana takut berdosa kepada Allah yang tiada sesuatu pun dapat menyamaiNya, sudah pasti ranjang ini di goyang oleh yang lainnya”
Ketika Umar r.a mendengar syairnya itu, maka dia bertanya kepada wanita tersebut, “Apa yang terjadi padamu?” Wanita itu menjawab, “Saya sangat merindukan suami saya yang telah meninggalkan saya selama beberapa bulan.” Umar r.a betanya, “Apakah kamu bermaksud melakukan hal yang buruk?” Wanita itu menjawab, “Saya berlindung kepada Allah.” Umar r.a berkata, “Kuasailah dirimu! Sekarang saya akan mengutus orang untuk memanggil suami mu.”
Setelah itu Umar r.a bertanya kepada anak perempuannya Hafsah r.anha, “Aku akan bertanya padamu mengenai sesuatu masalah yang membingungkan aku, mudah-mudahan kamu boleh memberi jalan keluar untukku. Berapa lama seorang wanita mampu menahan kerinduan ketika berpisah dari suaminya?” Mendengar pertanyaan itu, Hafsah r.anha menundukkan kepala kerana merasa malu. Umar r.a berkata, “Sesungguhnya Allah tidak pernah merasa malu dalam hal kebaikan.” Hafsah menjawab sambil berisyarat dengan jari tangannya, “Tiga sampai empat bulan.” Kemudian Umar r.a menulis surat kepada setiap amir (pimpinan) pasukan tentera Islam supaya tidak menahan anggota pasukannya lebih dari 4 bulan.”(HR Abdur Razzaq, Al-Kanz).
Ibnu Umar r.anhuma mengatakan bahawa pada suatu malam Umar r.a keluar (untuk melihat ehwal orang ramai), tiba-tiba belaiu mendengar seorang wanita sedang bersyair:
“Betapa panjang malam ini dan betapa gelap di sekelilingnya. Aku tidak boleh tidur kerana tiada yang tersayang yang boleh kuajak bercumbu.”
Kemudian Umar r.a bertanya kepada Hafsah r.anha, “Berapa lama wanita dapat bertahan tidak bertemu dengan suaminya?” Hafsah r.anha menjawab, “Enam atau empat bulan.” Maka Umar r.a berkata, “Untuk selanjutnya saya tidak akan menahan tentera lebih dari masa itu.”(HR Baihaqi)
Keluar 40 hari:
Seorang lelaki telah datang kepada Umar r.a maka Umar r.a pun bertanya: “Di manakah engkau berada?” Dijawabnya: “Saya berada di Ribat”. Umar r.a bertanya lagi: “Berapa hari engkau berada di Ribat itu?” Jawabnya, “tiga puluh hari”. Maka berkata Umar r.a “mengapa kamu tidak cukupkan empat puluh hari?”(Kanzul Ummal)
Keluar 3 Hari:
Daripada Ibnu Umar r.anhuma berkata: Nabi SAW telah memanggil Abdul Rahman bin Auf r.a lalu bersabda: Siap sedialah kamu, maka sesungguhnya aku akan menghantar engkau bersama satu jama’ah maka menyebut ia akan hadis dan katanya: Maka keluarlah Abdul Rahman hingga berjumpa dengan para sahabatnya, maka berjalanlah mereka sehingga sampai ke suatu tempat pertama bernama Daumatul Jandal, maka manakala ia masuk ke kampung itu ia mendakwah orang-orang kampung itu kepada Islam selama tiga hari. Manakala sampai hari yang ketiga dapat Islamlah Asbagh bin Amru al Kalbi r.a dan adalah ia dahulunya beragama Nasrani dan ia ketua di kampung itu.(HR Darul Qutni)
Pertanyaan yang ikhlas ada buktinya. Jika anda benar-benar ikhlas, anda patut mengamalkannya setelah mengetahui bahawa ianya benar. Semoga Allah menerima seluruh umat untuk menjalankan kerja ini. Amin!

No comments: