KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Para pemimpin Umno-BN dan para penyokong fanatiknya mendakwa para pemimpin serta para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menghina Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kerana enggan menerima pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru pada 4 Februari lalu.
Iklan
Apatah lagi, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh Sultan Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mahu menyaman Sultan Azlan Shah (walaupun tidak dipersetujui pemimpin PR yang lain) dan BN.
Ekoran itu, demonstrasi demi demonstrasi diadakan oleh Umno-BN dan penyokongnya di seluruh negara dengan pelbagai sepanduk mengecam Nizar dan Karpal. Karpal sendiri menghadapi 84 laporan polis terhadapnya. Beliau segera dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.
Cepat sungguh Polis Diraja Malaysia bertindak atas laporan polis terhadap pemimpin pembangkang sebaliknya para pemimpin BN yang memang 'penjenayah' dan 'perompak' harta rakyat, laporan polis itu entah ke mana lesapnya!
Sikap hipokrit dan 'double-standard' Umno terserlah apabila mereka turut turun ke jalan raya berdemonstrasi membantah ketegasan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu di Perak walaupun mereka juga yang mengatakan demonstrasi bukan budaya kita.
Nampaknya, jika dilakukan oleh mereka, demonstrasi jalanan tersebut tidak menjadi satu kesalahan. Karpal sendiri mempertikaikan perkara ini. Katanya, demonstrasi Pakatan Rakyat dihalang, tetapi demonstrasi Umno-BN dibenarkan walaupun tanpa permit.
Menantu kesayangan Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin juga kini mahu menjadi jaguh dengan mengecam Nizar dan Karpal dalam demonstrasi jalanan yang ditajanya. Beliau turut meminta penderhaka dihalau dari bumi Perak.
Nampaknya, Khairy mudah lupa kerana dahulu beliau juga yang menganggap para demonstrator jalanan adalah monyet. Tetapi, sekarang kerana mempertahankan kerajaan haram di Perak, beliau sanggup menjadi monyet.
Semua orang tahu ini hanyalah sandiwara Khairy sahaja untuk meraih sokongan dalam pertandingan memilih Ketua Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.
Demonstrasi bukan budaya kita. Bagaimanapun, ia menjadi budaya murni dan halal jika menyokong kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN!
Bandingkan dengan demonstrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu. Tiada satu pun kain rentang oleh penunjuk perasaan berbunyi kasar serta menghina Sultan Perak dan Raja Muda.
Apa yang terpampang hanyalah ayat "Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan DUN Perak" dan "Menuntut Bubarkan DUN, Kembalikan Kuasa Rakyat".
Nizar menderhaka? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan. Tetapi, tidak menggunakan perkataan tidak bersetuju. Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan "Sembah patik sembah derhaka."
Bukannya beliau menderhaka seperti yang ditafsirkan oleh akhbar arus perdana kroni kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. "Sembah derhaka" itu telah dijadikan isu, sedangkan selama ini pemimpin Umno yang kerap menderhaka kepada Sultan. Kepada Allah SWT pun mereka menderhaka, apatah lagi kepada Sultan yang juga manusia ciptaan Allah.
Nizar enggan meletakkan jawatan kerana jawatan dan kerajaan pimpinannya dirampas secara tidak bertamadun oleh pemimpin kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. Beliau dan kerajaan tidak dikalahkan, tetapi dinafikan secara haram menerusi rampasan kuasa yang sebenarnya memalukan Umno-BN.
Mana mungkin seorang yang bermaruah dan dipilih oleh rakyat mahu tunduk pada perbuatan tidak bermaruah dan penuh kehinaan? Siapa sahaja yang bermaruah akan mempertahankan diri jika dianiayai.
Berkaitan dengan isu di Perak ini, Umno-BN cuba menggambarkan imej buruk Pakatan Rakyat, iaitu tidak mendengar titah raja. Sejak bila pula Umno-BN begitu taat setia raja dan menjadi pembela berani mati?
No comments:
Post a Comment